Wednesday, August 25, 2010

Pengenalan

Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang.  Walaupun dipercayai boria berasal dari Parsi dan di bawa masuk ke Tanah Melayu oleh askar-askar India selatan, boria telah diubahsuai dan dinajukan lagi oleh orang Melayu di Pulau Pinang.  Pada awal abad ini boria dipersembahkan dengan meluas di Pulau Pinang tetapi masa kini teater dipersembahkan di daerah-daerah tempatan sahaja.  Daripada pelbagai sumber yang di dapati, pada pertengahan abad ke-19, teater boria melibatkan lagu vokal dan tarian di bawa ke Pulau Pinang oleh askar-askar India selatan yang beragama Islam.  Pada masa itu boria dipersembahkan oleh askar-askar itu selama 10 hari pada bula Muharam untuk mengingati peristiwa Karbala dan meratapi kematian Saidina Hussein r.a.  Kemudian boria dipersembahkan di Pulau Pinang oleh penduduk-penduduk tempatan yang berketurunan India selatan yang lebih dikenali dengan gelaran Jawi-Pekan.  Boria diubahsuai mengikut citarasa dan keperluan komuniti tenpatan.  Masa kini, boria dipersembahkan pada hari kebangsaan dan pesta-pesta di Pulau Pinang, tapak-tapak ekspo dan sebagainya dengan tujuan memajukan pelancongan.  Selain itu, pertandingan-pertandingan boria juga turut diadakan bagi memastikan boria tidak hilang dek arus kemodenan.

Di kampung-kampung boria sering dipersembahkan di pentas biasa iaitu di atas pelantar kayu yang dibina kira-kira 1 meter tingginya.  Biasanya pentas ini tidak memerlukan set atau props.  Prop-prop kecil sahaja yang dipegang oleh para peserta boria.  Peserta-peserta masuk ke pentas dari bahagian belakang.  Di sini juga  ditempatkan pemain-pemain muzik yang duduk pada masa persembahan.  Ruang di bahagian hadapan pelantar ini merupakan gelanggang untuk persembahan boria.  Apabila dimainkan untuk perayaan negeri biasanya pentas dewan digunakan tetapi prop dan set masih tidak diperlukan. 

Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan atau lawak jenaka dan juga nyanyian.  Kedua-dua segmen ini saling bergantungan di antara satu sama lain dalam menentukan mutu persembahan.  Pada asalnya, para pelakon boria adalah lelaki sahaja.  Watak wanita yang ditimbulkan dalam cerita akan dilakonkan oleh pelakon lelaki yang akan memakai pakaian wanita sambil merendahkan suaranya agar tidak selantang suara lelaki.   Dalam kumpulan boria wania biasanya akan menyanyi.  Tetapi sejak tahun 1950 an, pasukan boria wanita mula wujud.  Lakonan akan dipenuhi dengan lawak jenaka yang sengaja direka untuk memberi rasa geli hati kepada penonton. 

Sebaik sahaja babak lakonan berakhir, muzik pula akan dimainkan menandakan bermulanya bahagian kedua persembahan iaitu segmen nyanyian.  Si tukang karang iaitu ketua penyanyi dalam setiap kumpulan akan mendahului para kelasi iaitu penari atau penyanyi latar masuk ke pentas sambil memusing-musingkan 'baton' di tangan.  Nyanyian dimulakan secara solo oleh tukang karang yang kemudian diikuti oleh korus pihak kelasi.

Pada masa kini cerita-cerita yang dikisahkan dalam persembahan boria tertumpu kepada tema-tema yang berhubungkaitkan dengan tujuan persembahan itu dan juga isu-isu masyarakat semasa.  Kadang kala cerita Cina atau India juga dikisahkan malah ceria daripada filem juga dilakonkan dalam pementasan boria.
 
Pasukan amaur lazimnya berhubungkait dengan pergerakan belia politik, sekolah-sekolah atau maktab-maktab.  Pasukan profesional terdiri daripada beberapa pelakon yang telah mahir mengimprovisasikan dialog.  Pasukan profesional ini merupakan pasukanyang stabil berbanding dengan pasukan amatur memandnagkan mereka lebih berpengalaman dalam persembahan. 
Adegan sketsa dalam persembahan boria


Tukang karang bersama kelasi

1 comment: