Wednesday, August 25, 2010

Cara Persembahan

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Rahmah Bujang (1987), persembahan boria lazimnya terdiri daripada dua persembahan cerita yang berasingan. Tema atau cerita persembahan pertama dihubungkaitkan dengan tujuan persembahan itu, maka tema persembahan kedua adalah lebih umum lagi. Sesebuah persembahan dibahagikan kepada dua segmen iaitu:

• cerita lucu atau lawak jenaka 

Bahagian lawak jenaka biasanya dilakonkan oleh 10 hingga 14 orang pelakon. Jenis peranan ( role types) dalam bahagian ini terdiri daripada beberapa orang biasa dari kamoung dan seorang penghulu atau pegawai profesional seperti doktor atau pegawai kerajaan. Tema cerita dikisahkan secara lawak jenaka dan komedi slapstik dengan dialog yang diimprovisasikan. Lazimnya sebuah pancaragam menghasilkan muzik instumental untuk mengiringi cerita dan membunyikan kesan bunyi apabila diperlukan.

• bahagian lagu vokal dan tarian

Bahagian yang kedua dalam persembahan boria terdiri daripada lagu vokal dan tarian yang berulang-ulang. Bahagian ini dimainkan oleh korus dan seorang penyanyi, iaitu seramai 30-40 peserta. Peserta korus juga menari dan mereka ini digelar kelasi atau sailor, sementara penyanyi solo atau ketua penyanyi dikenali sebagai tukang karang.

Tukang karang ini berdiri di pentas di hadapan mikrofon, manakala korus/penari berdiri berbaris-berbaris di belakang tukang karang. Bahagian kedua persembahan boria ini bermula dengan muzik instrumental oleh pancaragam yang menghasilkan lagu tertentu yang berasaskan irama dan rentak cha-cha, rhumba atau arian popular Barat yang lain. Serentak dengan muzik insrumental ini tukang karang menyanyikan senikata rangkap pertama. Rangkap ini berstruktur 4 baris senikata dengan skema rima tertentu yang tetap misalnya rangkap pertama dengan skema a,a,a,a dan rangkap kedua dengan skema b,b,b,b dan seterusnya. Misalnya:

BORIA TERKENAL DI PULAU MUTIARA
KINI DIKENALI DI SELURUH NEGARA
IRAMANYA CERIA RIANG GEMBIRA
BORIA OMARA MEMBUKA ACARA

AKHIR KATA KAMI BERPESAN
BORIA BUKAN SEKADAR HIASAN
SENI BUDAYA SEBUAH BINGKISAN
BORIA OMARA MENYAMBUNG WARISAN

Rangkap yang dinyanyikan oleh tukang karang diiringi oleh pancaragam dan pada waktu yang sama korus/penari mula bergerak dengan langkah-langkah tarian tertentu. Korus/penari biasanya akan bergerak serentak. Apabila tukang karang selesai menyanyikan rangkap pertama, korus akan mengulangi senikata dan melodi rangkap itu sambil menari mengikut rentak lagu. Selepas itu, tukang karang akan menyanyi rangkap kedua pula sementara korus terus menari. Tukang karang dan korus berselang-seli begini sehingga 12 -20 rangkap dinyanyikan. Tema senikata semua rangkap bertumpu kepada tema utama cerita persembahan boria itu.




3 comments: