Monday, August 30, 2010

Slide Boria


Boria SMP2252

Thursday, August 26, 2010

Boria Pada Masa Kini

Banyak perubahan berlaku dalam persembahan boria pada masa kini. Perubahan adalah disebabkan oleh faktor masa dan kesan daripada pertandingan boria yang semakin meluas yang diadakan pada masa kini. Boria  telah diubahsuai mengikut cita rasa dan budaya komuniti tempatan. Perubahan dilakukan untuk menarik lebih ramai peminat untuk menonton. Persembahan boria kini dapat dilihat dalam hari kebangsaan dan di pesta Pulau-Pinang, tapak-tapak ekspo dan kawasan-kawasan pelancongan, pertandingan-pertandingan boria supaya muzik tradisi ini "tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas".

Perubahan adalah dari segi pakaian, jika dahulu pakaian adalah beraneka corak, warna, bentuk dan ragam tetapi kini pemakaiannya adalah lebih bercorak seragam. Sebagai contoh pakaian kelasi adalah seragam kecuali tukang karang memakai pakaian yang berbeza atau yang lebih istimewa.

Perubahan lain adalah segi gerak langkah tarian. gerak langkah tarian telah diseragamkan dan menyelitkan unsur-unsur moden dalam persembahannya.  Dari aspek muzik penggunaan kugiran dan pencaragam diaplikasikan. 





Tokoh-Tokoh Boria


Tuan Haji Abdul Rahman Bin Haji Hamid 
Bekas Penerbit boria RTM Pulau Pinang, terlibat dalam Pertandingan Boria Dendang Rakyat di TV1. Beliau merupakan pengadil boria di Pulau Pinang.


Encik Daud bin Ibrahim. 
Beliau merupakan penggiat Boria Sungai Pinang, Pulau Pinang. Pelakon sketsa boria dan pengadil pertandingan boria. Kegemilangan atau kebangkitan boria adalah bermula di zaman Pak Daud dengan Boria Sungai Pinangnya. Selain dari Radio Pulau Pinang dalam rancangan 'boria', kumpulan ini juga sering diundang di RTM.


Syed Akir bin Syed Ahmad. 
Beliau merupakan pemimpin Kumpulan Boria Anak Tanjung, Air Itam, Pulau Pinang. Beliau juga berperanan sebagai tukang karang dan pelakon sketsa dalam boria.




 Encik Abdullah Bin Darus
Beliau juga  dikenali sebagai Pak Lah. Pak lah adalah tokoh boria yang masih bergiat aktif menyumbangkan tenaga dan ideanya kepada perkembangan boria. Beliau banyak menyimpan khazanah gambar-gambar lama boria dan mengetahui asal usul boria.

Wednesday, August 25, 2010

Alat-alat Muzik dan Repertoir

Persembahan cerita dan lagu vokal serta tarian dalam teater boria diiringi oleh pancaragam yang biasanya duduk di bahagian belakang pentas.  Ensembel ini biasanya terdiri daripada berbagai-bagai alat muzik kerana peralatan muzik yang digunakan dalam setiap persemabahan boria ini tidak bersifat khusus.  Hal ini kerana aspek yang dipentingkan ialah keupayaan para pemuzik untuk mengiringi nyanyian tukang karang.  Lantaran itulah kadang-kadang alat muzik yang digunakan hanyalah gendnag dan violin sahaja.  Walau bagaimanapun, seandainya lebih banyak alat muzik yang dapat digunakan semakin baiklah persembahan tersebut.  Namun begitu, pada masa dahulu alat muzik yang sering digunakan adalah seperti violin, gambus, marwas, tabla, akordion, gendang, simbal dan harmonika.  

Akordion
Harmonika


Gambus

Tabla


Simbal

Sejak kebelakangan ini, pelbagai alat muzik moden dari Barat turut digunakan dalam setiap persembahan boria ini seperti gitar elektrik yang menghasilkan melodi dan irama, set dram Barat, tamborin dan kibord elektrik.  

Gitar elektrik

Drum set
 Sebagai bentuk hiburan yang  bertumpu kepada cerita-cerita tertentu atau iau-iau sosial semasa dalam komuniti Melayu Pulau Pinang, teater boria menonjolkan ciri-ciri sinkretik.  Ciri-ciri ini termasuklah kegunaan struktur persembahan tertentu, tema-tema tempatan, struktur rangkap tempatan, muzik tarian popular Barat serta pancaragam yang mengutamakan alat Melayu, Barat, India, Arab dan lain-lain lagi.

Hubungan di antara pakaian, muzik, dialog dengan cerita yang dimainkan amat erat sekali. Seandainya cerita yang dimainkan merupakan cerita Arab, maka pakaian yang digunakan adalah ala Arab.  Muzik dan tarian yang dimainkan pun mirip kepada irama Arab.  Malah bahasa yang digunakan lebih kepada telor Arab.
 

Cara Persembahan

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Rahmah Bujang (1987), persembahan boria lazimnya terdiri daripada dua persembahan cerita yang berasingan. Tema atau cerita persembahan pertama dihubungkaitkan dengan tujuan persembahan itu, maka tema persembahan kedua adalah lebih umum lagi. Sesebuah persembahan dibahagikan kepada dua segmen iaitu:

• cerita lucu atau lawak jenaka 

Bahagian lawak jenaka biasanya dilakonkan oleh 10 hingga 14 orang pelakon. Jenis peranan ( role types) dalam bahagian ini terdiri daripada beberapa orang biasa dari kamoung dan seorang penghulu atau pegawai profesional seperti doktor atau pegawai kerajaan. Tema cerita dikisahkan secara lawak jenaka dan komedi slapstik dengan dialog yang diimprovisasikan. Lazimnya sebuah pancaragam menghasilkan muzik instumental untuk mengiringi cerita dan membunyikan kesan bunyi apabila diperlukan.

• bahagian lagu vokal dan tarian

Bahagian yang kedua dalam persembahan boria terdiri daripada lagu vokal dan tarian yang berulang-ulang. Bahagian ini dimainkan oleh korus dan seorang penyanyi, iaitu seramai 30-40 peserta. Peserta korus juga menari dan mereka ini digelar kelasi atau sailor, sementara penyanyi solo atau ketua penyanyi dikenali sebagai tukang karang.

Tukang karang ini berdiri di pentas di hadapan mikrofon, manakala korus/penari berdiri berbaris-berbaris di belakang tukang karang. Bahagian kedua persembahan boria ini bermula dengan muzik instrumental oleh pancaragam yang menghasilkan lagu tertentu yang berasaskan irama dan rentak cha-cha, rhumba atau arian popular Barat yang lain. Serentak dengan muzik insrumental ini tukang karang menyanyikan senikata rangkap pertama. Rangkap ini berstruktur 4 baris senikata dengan skema rima tertentu yang tetap misalnya rangkap pertama dengan skema a,a,a,a dan rangkap kedua dengan skema b,b,b,b dan seterusnya. Misalnya:

BORIA TERKENAL DI PULAU MUTIARA
KINI DIKENALI DI SELURUH NEGARA
IRAMANYA CERIA RIANG GEMBIRA
BORIA OMARA MEMBUKA ACARA

AKHIR KATA KAMI BERPESAN
BORIA BUKAN SEKADAR HIASAN
SENI BUDAYA SEBUAH BINGKISAN
BORIA OMARA MENYAMBUNG WARISAN

Rangkap yang dinyanyikan oleh tukang karang diiringi oleh pancaragam dan pada waktu yang sama korus/penari mula bergerak dengan langkah-langkah tarian tertentu. Korus/penari biasanya akan bergerak serentak. Apabila tukang karang selesai menyanyikan rangkap pertama, korus akan mengulangi senikata dan melodi rangkap itu sambil menari mengikut rentak lagu. Selepas itu, tukang karang akan menyanyi rangkap kedua pula sementara korus terus menari. Tukang karang dan korus berselang-seli begini sehingga 12 -20 rangkap dinyanyikan. Tema senikata semua rangkap bertumpu kepada tema utama cerita persembahan boria itu.




Organisasi Kumpulan

Pada masa dahulu, sesebuah kumpulan boria mengandungi 40 hingga 60 orang ahli termasuk tauke iaitu penaja, tukang karang, kelasi dan pemuzik.  Kesemua ahli terdiri daripada orang lelaki.  Selepas Perang Dunia 2 barulah terdapat penglibatan wanita dalam kumpulan boria.  Sesebuah kumpulan boria sering kali dibiayai oleh seseorang tauke yang datang ari golongan kaya.  Mereka bukan sahaja terdiri daripada orang Melayu tetapi juga orang Cina yang kaya dan sering menjadi tumpuan anak-anak muda untuk dipujuk menjadi tauke.  Kejayaan mementaskan persembahan boria menjadi lambang prestij pada ketika itu.  Oleh itu, ketiadaan kumpulan boria dalam ssebuah kampung atau mukim dianggap sebagai sesuatu yang boleh memalukan penduduk kampung berkenaan.

Selain tauke, orang yang turut memainkan peranan penting dalam kumpulan boria ialah tukang karang.  Seorang tukang karang yang baik mesti berupaya membawakan lagu dengan sempurna, lantang dan terang.  Keupayaannya untuk memilih perkataan yang sesuai terutama untuk memuji tuan rumah adalah sesuatu yang sangat diharapkan untuk memancing derma yang lebih.  Sebab inilah tukang karang menjadi nadi penggerak untuk sesebuah kumpulan boria.  Pakaian tukang karang juga agak istimewa daripada ahli-ahli lain dalam kumpulan. 


Latar Belakang Boria

Secara umumnya asal permainan boria dikaitkan dengan peristiwa Karbala, iaitu peristiwa pembunuhan Saidina Hussein r.a oleh Muawiyah bin Abi Suffian.  Kematian Saidina Hussein r.a yang penuh tragik itu diperingati oleh kaum Syiah dengan mengadakan upacara perkabungan tahunan khusus pada 10hb Muharam di perkuburannya.  Upacara ini dikenali sebagai takziya.  Dalam upacara ini lakonan dibuat untuk memperingati peristiwa yang menyayat hati itu.  Seseorang penyair akan mendendangkan syair-syair mengisahkan Saidina Hussein r.a dikepung musuh.  Bekalan air dan makanan disekat unuk melemahkan Saidina HUssein r.a.  Apabila dendangan syair sampai ke episod pembunuhan Saidina Hussein r.a, pengikut-pengikut Syiah ini akan meratap sambil menjerit dan memukul-mukul badan dengan sekuat hati sehingga berdarah.  Kaum syiah menganggap perbuatan ini sebagai satu jalan untuk menebus dosa mereka kerana membiarkan Saidina Hussein r.a menemui ajalnya di tangan tentera-tentera Muawiyah bin Ali Suffian.  Untuk acara akhir pula, mereka mengadakan satu perarakan yang membawa lambang tangan berwarna merah serta bendera-bendera di sekitar kawasan perkuburan Saidina Hussein r.a.

Acara tahunan ini mengalami perubahan sedikit demi sedikit dari semasa ke semasa.  Syair-syair yang didendangkan tidak lagi berlegar di sekitar pembunuhan Saidina Hussein r.a malah telah diselang selikan dengan peristiwa-peristiwa yang terdapat dalam kitab Taurat, Injil serta cerita rakyat dari timur.  Para pengikut mulai berlakon agar dendangan syair menjadi lebih realistik.  Mereka akan melakonkan babak-babak tertentu sejajar dengan syair yang didendangkan dalam persebahan.

Apabila gerakan Syiah bertukar menjadi pertubuhan yang berbau politik, teater ini dijadikan tempat mereka mencari pengaruh.  Sambuan hebat didapati di merata tempat setiap kali diadakan persembahan.  Kebiasaanya golongan kaya akan membiayai persembahan serta mengedarkan minuman secara percuma untuk menarik perhatian orang ramai untuk datang menonton.  Oleh itu, dikatakan teater ini berkembang selari dengan dengan perkembangan fahaman Syiah.  Di mana-mana sahaja terdapatnya kaum Syiah teater ini pasti wujud.  Maka berkembanglah teater ini ke Parsi, India dan seterusnya menjalar masuk ke Semenanjung Malaysia.  

Asal Usul Perkataan Boria

Ramai yang sering tertanya-tanya daripada mana timbulnya perkataan boria itu sendiri.  Sesetengah sarjana berpendapat bahawa perkataan boria diambil dari perkataan Hindustan yang membawa maksud 'tikar'.  Perkataan ini timbul kerana kumpulan boria ketika itu menggunakan pakaian yang diperbuat daripada tikar untuk menggambarkan kesengsaraan Saidina Hussein r.a di Karbala. 

Selain itu, ada juga yang berpendapat perkataan boria berasal dari perkataan 'borai'.  Borai dikatakan berasal dari bahasa Hindustan yang membawa maksud gila atau sasau.  Ini disebabkan oleh kelakuan pemain serta pakaian mereka semasa persembahan seperti orang gila. 
Satu lagi pendapat yang mengatakan bahawa boria berasal dari perkataan Bori.  Bori adalah satu kaum yang berasal dari Gujerat, India.  Mereka berpindah serta menetap di Pulau Pinang dan kaum inilah yang dikatakan memulakan permainan boria di Pulau Pinang.  Pendapat lain ada mengatakan bahawa nama boria lahir hasil dari gabungan bori dan ria, maka terjadilah boria.

Pengenalan

Boria adalah sejenis teater yang amat popular di negeri utara Malaysia, terutama Pulau Pinang.  Walaupun dipercayai boria berasal dari Parsi dan di bawa masuk ke Tanah Melayu oleh askar-askar India selatan, boria telah diubahsuai dan dinajukan lagi oleh orang Melayu di Pulau Pinang.  Pada awal abad ini boria dipersembahkan dengan meluas di Pulau Pinang tetapi masa kini teater dipersembahkan di daerah-daerah tempatan sahaja.  Daripada pelbagai sumber yang di dapati, pada pertengahan abad ke-19, teater boria melibatkan lagu vokal dan tarian di bawa ke Pulau Pinang oleh askar-askar India selatan yang beragama Islam.  Pada masa itu boria dipersembahkan oleh askar-askar itu selama 10 hari pada bula Muharam untuk mengingati peristiwa Karbala dan meratapi kematian Saidina Hussein r.a.  Kemudian boria dipersembahkan di Pulau Pinang oleh penduduk-penduduk tempatan yang berketurunan India selatan yang lebih dikenali dengan gelaran Jawi-Pekan.  Boria diubahsuai mengikut citarasa dan keperluan komuniti tenpatan.  Masa kini, boria dipersembahkan pada hari kebangsaan dan pesta-pesta di Pulau Pinang, tapak-tapak ekspo dan sebagainya dengan tujuan memajukan pelancongan.  Selain itu, pertandingan-pertandingan boria juga turut diadakan bagi memastikan boria tidak hilang dek arus kemodenan.

Di kampung-kampung boria sering dipersembahkan di pentas biasa iaitu di atas pelantar kayu yang dibina kira-kira 1 meter tingginya.  Biasanya pentas ini tidak memerlukan set atau props.  Prop-prop kecil sahaja yang dipegang oleh para peserta boria.  Peserta-peserta masuk ke pentas dari bahagian belakang.  Di sini juga  ditempatkan pemain-pemain muzik yang duduk pada masa persembahan.  Ruang di bahagian hadapan pelantar ini merupakan gelanggang untuk persembahan boria.  Apabila dimainkan untuk perayaan negeri biasanya pentas dewan digunakan tetapi prop dan set masih tidak diperlukan. 

Persembahan boria mempunyai dua segmen iaitu lakonan atau lawak jenaka dan juga nyanyian.  Kedua-dua segmen ini saling bergantungan di antara satu sama lain dalam menentukan mutu persembahan.  Pada asalnya, para pelakon boria adalah lelaki sahaja.  Watak wanita yang ditimbulkan dalam cerita akan dilakonkan oleh pelakon lelaki yang akan memakai pakaian wanita sambil merendahkan suaranya agar tidak selantang suara lelaki.   Dalam kumpulan boria wania biasanya akan menyanyi.  Tetapi sejak tahun 1950 an, pasukan boria wanita mula wujud.  Lakonan akan dipenuhi dengan lawak jenaka yang sengaja direka untuk memberi rasa geli hati kepada penonton. 

Sebaik sahaja babak lakonan berakhir, muzik pula akan dimainkan menandakan bermulanya bahagian kedua persembahan iaitu segmen nyanyian.  Si tukang karang iaitu ketua penyanyi dalam setiap kumpulan akan mendahului para kelasi iaitu penari atau penyanyi latar masuk ke pentas sambil memusing-musingkan 'baton' di tangan.  Nyanyian dimulakan secara solo oleh tukang karang yang kemudian diikuti oleh korus pihak kelasi.

Pada masa kini cerita-cerita yang dikisahkan dalam persembahan boria tertumpu kepada tema-tema yang berhubungkaitkan dengan tujuan persembahan itu dan juga isu-isu masyarakat semasa.  Kadang kala cerita Cina atau India juga dikisahkan malah ceria daripada filem juga dilakonkan dalam pementasan boria.
 
Pasukan amaur lazimnya berhubungkait dengan pergerakan belia politik, sekolah-sekolah atau maktab-maktab.  Pasukan profesional terdiri daripada beberapa pelakon yang telah mahir mengimprovisasikan dialog.  Pasukan profesional ini merupakan pasukanyang stabil berbanding dengan pasukan amatur memandnagkan mereka lebih berpengalaman dalam persembahan. 
Adegan sketsa dalam persembahan boria


Tukang karang bersama kelasi